Hasad Punca Penyesalan Yang Berpanjangan.

Reminders

Waspada dengan hasad dengki kerana itulah dosa yang pertama dilakukan oleh manusia di atas muka bumi ini. Sehingga Allah SWT mengajar manusia dengan Al-Quran agar memohon perlindungan dari bahaya hasad.


Tidak perlu sehingga seseorang itu menginginkan orang lain agar jatuh sakit atau miskin, tetapi sekadar terhimpun dihatinya rasa kebencian dan tidak suka terhadap kenikmatan yang mereka miliki itu sudah dikira sebagai hasad. Oleh kerana itu, hasad ibarat virus yang tersangat mudah untuk menjangkiti sesiapa sahaja. (Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah, Jami’ul ‘Ulum Wal Hikam)


Adakah setiap hasad itu memungkinkan manusia untuk melakukan kezaliman? Syaikh Al-‘Utsaimin dalam Tafsir Juz ‘Amma; hal. 353, berpendapat bahawa manusia yang hasad itu terbahagi kepada dua. Pertama sekadar membenci tetapi tidak mengganggu orang yang dibencinya, kedua mereka membenci dan kemudian mengganggu orang yang dibencinya.


Sementara Ibnul Qayyim Al-Jauziyah pula berpandangan bahawa apabila seseorang itu timbul hasad dijiwanya, maka pasti dia akan memberikan keburukan (kejahatan) kepada yang yang ia dengki. Kejahatan tersebut tidak semestinya melalui tangannya ataupun ucapannya. Bahkan ia boleh muncul dalam lintasan jiwanya dan penglihatannya kepada orang yang ia dengki. (lihat Badaa’iul Fawaaid 2/227-228)


Kerana itu, seharusnya kita memohon perlindungan dari kejahatan hasad, sementelah kita sendiri tidak tahu siapa yang berhasad dengan kita. Kerana hasad mampu untuk menerobos kedalam jiwa sesiapa sahaja, tidak kita ilmuan, agamawan, sahabat, ahli keluarga bahkan mungkin sahaja orang yang dekat dengan kita ternyata hasad kepada kita.


Begitulah bahayanya hasad sehingga Allah Subhanahu wa Ta’ala mengkhususkan sebutan tentangnya di dalam surah Al-‘Alaq. Kerana ia sesungguhnya membawa malapetaka dan kerosakan. Seseorang yang hasad sangat berpotensi untuk melakukan kejahatan kepada orang yang ia dengki, kemungkinannya adalah apa sahaja boleh terjadi.


Itulah dosa pertama yang dilakukan di langit ketika Iblis dengan perasaan sombong dengan kemuliaan ciptaanya dihinggapi hasad kepada Nabi Adam ‘alaihis salam yang diberikan kemuliaan dan penghormatan. Enggannya Iblis untuk bersujud kepada Adam walaupun itu adalah perintah dari Allah. Kerana hasad dan merasakan dirinya lebih mulia Iblis enggan untuk bersujud. (rujuk surah Al-A’raf : 12)


Tidak cukup dengan keengganannya untuk sujud malah Iblis malah berjanji untuk menyesatkan seluruh keturunan Adam sehingga hari kiamat (rujuk surah Al-Hijr : 39-40). Dia rela dihumban ke neraka Jahannam kerana yang penting baginya tidak akan sesekali sujud demi kemuliaannya.


Begitulah juga apa yang berlaku kepada dua anak Adam (Habil dan Qabil). Kerana hasad, maka tercatatlah dosa pertama yang dilakukan manusia di atas muka bumi ini.


Ketika keduanya mempersembahkah korban, hanya seorang yang diterima korbannya. Lalu angkara hasad mengalir darah anak Adam dan terjadinya pembunuhan pertama.


Begitulah bahayanya hasad, disebut secara khusus dalam Al-Quran supaya dipohon perlindungan dengan Allah daripadanya. Kerana banyaknya bahaya dek kerana hasad. Bencana, kerosakan dan huru-hara, manusia bahkan nekad untuk membunuh lantaran kerana hasad. Tidak ada sesiapa yang mampu selamat daripada bencana hasad.


Ketika seseorang manusia itu diberikan nikmat oleh Allah, pasti akan ada yang hasad kepadanya. Bahkan Ibnul Qayyim rahimahullah melihat bahawa kejahatan hasad itu tidak hanya ke atas manusia bahkan tidak terlepas hasadnya jin. (lihat Badaai’ul Fawaaid 2/235)


Semoga coretan ini memberikan manafaat dan peringatan kepada diri ini dan sesiapa sahaja yang membacanya. Mintalah perlindungan dengan Allah dari ancaman bahaya hasad. Semoga kita semua diperlihara. Rasulullah Salallahu ‘alaihi wa sallam mengingatkan kita agar berwaspada dengan hasad sepertimana sabdanya,


“Awaslah kamu daripada hasad, kerana hasad itu akan memakan semua amal kebaikan sepertimana api memakan kayu”.
– Hadith riwayat Abu Daud


Alor Setar, Oktober7.

Kongsikan Artikel Ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on tumblr
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Share on print