Malas berdayung perahu hanyut.

branding

Dinding laman muka buku saya terus dibanjiri dengan posting-posting pujian dan keterujaan atas kejayaan saudara Khairul Aming yang mampu menjual 10,000 botol ‘Sambal Nyet‘ beliau dalam masa 3 minit.



Ya, saya sendiri teruja dan terkesan dengan kejayaan beliau, bukanlah terkesan dari sudut negatif, tetapi membakar semangat untuk meneruskan usaha. Beliau tidak propa tidak juga mencari publisiti murahan. Malah beliau bermula dan berusaha dari bawah untuk mencapai tahap hari ini.


Saya tidak mengenali sosok tubuh anak muda ini melainkan sekitar awal tahun lalu bila memulakan perniagaan dengan produk sendiri. Kebetulan produk yang saya usahakan sama dengan beliau sehingga pada awalnya ada cemuhan dan tohmahan dilemparkan. Seperti biasa saya akan abaikan dan telan sahaja tanpa banyak bicara. Kerana nawaitunya adalah untuk mencari rezeki.


Banyak yang saya belajar dari beliau, terutama bagaimana beliau membuat PERSONAL BRANDING. Usaha beliau bukan sehari dua, bertahun-tahun beliau meneroka dengan tidak sedikit belanja yang dikeluarkan. Seketika jatuh tersungkur kemudian bangun kembali merangkak, bertatih dan sekarang mula berlari. Namun beliau tetap KONSISTEN membina personal branding nya


Ya, personal branding bukan sesuatu yang semudah disangkakan. Memerlukan kesungguhan dan konsistensi yang tinggi. Ramai yang mampu untuk mencipta produk, mencipta jenama sendiri. Tidak ramai yang mampu terutama untuk konsisten sehingga mampu setara itu.


Mana mungkin perahu tak hanyut jika tangan malas berdayung. Berdayung jangan sekali-sekala, tidaklah hingga tidak boleh berhenti seketika, yang penting konsisten kekerapannya kerana itulah punca kawalan untuk perahu membelah ombak hingga ke destinasi.


Jika kekuatan untuk perniagaan adalah personal branding, dan kunci kepadanya adalah konsistensi, begitulah juga kejayaan akhirat kita. Walau apa juga amalan yang ingin kita lakukan, kunci utamnya adalah konsistensi. Seperti sabda banginda Nabi:


“Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan (konsisten) walaupun jumlahnya sedikit” – Hadith riwayat Al-Bukhari, no. 6465.

Lalu apa indikator sesuatu amalan kebaikan yang kita lakukan itu diterima? Kata Ibn Rajab Al-Hanbali rahimahullah,


“Balasan dari amalan kebaikan adalah amalan kebaikan selepas dari itu. Sesiapa yang melakukan kebaikan kemudian diikuti dengan amalan iebaikan yang lain, itulah tanda amalan kebaikannya yang sebelumnya diterima. Manakala sesiapa yang melakukan kebaikan, tetapi diikuti dengan qmalan keburukan, itu tandanya amalan kebaikannya tertolak atau tidak diterima.” (Latho-if Al Ma’arif, hal. 394)


Apa yang dilakukan oleh Khairul Aming sememangnya mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja. Tetapi konsistensinya dalam sangat luarbiasa. Teringat sepotong hadith daripada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha ketika mana beliau ditanya tentang amalan yang dilakukan oleh Nabi salallahu’alaihi wa sallam. Kata ‘Aisyah:


“Amalan baginda adalah amalan yang berterusan (rutin). Siapa sahaja diantara kamu mampu melakukan yang baginda lakukan” – hadith riwayat Muslim no. 783


Oleh itu, amalan yang simple sekalipun tetapi secara berterusan itu lebih baik dari melakukan banyak amalan tetapi terputus (tidak berterusan). Amalan yang sedikit dan konsisten lebih mudah untuk dilakukan, melekat di jiwa. Amalan yang disertakan dengan niat yang baik dan ikhlas menjadikan amalan tersebut diterima. Biarlah sedikit dan konsisten kerana ia menjamin ganjaran yang berlipat kali ganda dari amalan yang banyak tetapi terputus, ganjarannya terhenti disitu sahaja.


Malangnya tidak semudah menulis untuk konsisten. kerana setiap amalan itu ada futurnya. Rasulullah salallahu’alaihi wa sallam bersabda, “Setiap amalan itu pasti ada masa semangatnya. Dan setia masa semangat itu pasti ada masa futur (malas)nya. Sesiapa yang kemalasannya masih dalam sunnan (petunjuk) Nabi salallahu’alaihi wasallah, maka dia berada dalam petunjuk. Namun sesiapa yang keluar dari petunjuk tersebut, sesungguhnya dia telah menyimpang” – hadith sahih riwayat At-Tabarani, Mu’jam Al-Kabir.


Ringkasnya, apa juga amalan kuncinya adalah konsisten dan jangan pernah berputus asa. Sosok muda ini adalah contoh bagaimana untuk menjadi manusia yang berjaya. Semoga saya sendiri mengambil iktibar dari hasil usaha dan kejayaan beliau untuk dunia dan akhirat.


11 Oktober 2021, Alor Setar.

Kongsikan Artikel Ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on tumblr
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Share on print