Tak ada sebab kenapa nak belajar?

rusa

“Walid, kenapa dulu Walid ambil STAM?” tiba-tiba Iman bertanya ketika kami sedang duduk berbual di halaman rumah. Mungkin dia tertanya-tanya kerana malam sebelumnya Iman asyik membelek buku-buku di rak perpustakaan mini di rumah.


“STAM tu kan susah, Ibu pun suruh Akak ambil STAM juga, tapi Akak tak nak sebab susah. Bahasa Arab yang sekarang ni pun rasa macam terpaksa jer.” Iman bercerita, dia mengerutkan dahi sambil menunggu jawapan.


“Saja jer nak ambik… tak boleh ke?” saya menjawab ringkas. Sebenarnya tidak ada jawapan yang tepat mengapa saya mengambil keputusan tersebut.


“Mana boleh macam tu, mesti ada sebab. Biasa orang ambik STAM ni sebab nak sambung belajar, dah tu kenapa Walid ambil?” Iman bertanya lagi, kali ini dengan penuh tanda tanya di kepalanya.


“Iyer… memang tak ada sebab, just rasa nak ambil, nak merasa macam mana belajar walaupun dah tua.” saya menjawab sambil ketawa kerana beliau, saya mengambil STAM setelah tamat Ijazah Sarjana.


Jadi untuk apa sebenarnya?


Memang benar, memang tidak ada alasan. Alasannya satu hanyalah untuk merasai pengalaman belajar. Walaupun terpaksa memandu 100km pergi dan balik untuk menghadiri kelas, tetapi itulah pengalaman.


Walaupun selepas SPM saya mengikuti diploma Pengajian Islam, tetapi selepas itu saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian ijazah dan sarjana dalam bidang Pengurusan. Satu hari sewaktu melihat anak-anak mengulangkaji untuk menghadapi peperiksaan STAM, diri terasa seakan terdetik.

Kenapa tidak? Bukankah suatu masa dahulu seorang ayah ingin melihat bagaimana hasil didikan anaknya. Mengapa yang sekerat jalan dahulu tidak dihabiskan sahaja.


Mengapa tidak? Bukankah itu jejak langkah ayah? Dia selalu ingin melihat bagaimana hasil dia mendidik anaknya. Jadi mengapa yang sekerat jalan dahulu tidak dihabiskan sahaja.


“So apa jadi lepas tu walid, macam mana result?” Iman seakan tidak sabar untuk mengetahui cerita tentang aku dan STAM. Melihat riak mukanya saya menahan ketawa.


“Result? Jangan harap lah ada mumtaz atau jayyid jiddan… Ada dua, tiga Jayyid dengan makbul sederet ni pun dan syukur banyak. Okaylah kan, yang penting pengalaman tu ada walaupun tak pandai.” Saya ketawa sendirian kemudian diikuti ketawa anak-anak.


Kadangkala tidak perlu sebarang sebab untuk belajar, tidak semestinya segulung ijazah itu mesti menajdi tiket untuk mendapatkan pekerjaan berdasarkan apa yang dipelajari. Boleh sahaja seorang engineer menjadi tukang masak, atau seorang lepasan pengajian islam menjadi pengurus syarikat.


Sehelai lampiran sijil itu bukti bahawa kita telah terdidik dengan ilmu. Tetapi bukanlah orang yang tidak memiliki apa-apa lembaran sijil formal itu tidak berilmu. Hanya ada itu lebih baik dari tiada apa-apa.


Noktah.

Kongsikan Artikel Ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on tumblr
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Share on print