Mereka memecah-belah walaupun dalam melakukan kebaikan.

masjid

Setiap insan mampu melakukan kebaikan walaupun sedikit. Tidak kira apa pun amalan kebaikan, sekiranya dilaksanakan dengan ikhlas kerana Allah, pasti akan di berikan ganjaran yang setimpal dengan amalan yang dilakukan.


Menyampaikan nasihat juga kebaikan walaupun majoriti manusia menolak dan tidak pernah suka dengan nasihat. Hasil amalan tersebut bukan dinilai dengan ramainya manusia yang mengikut. Tetapi dinilai dengan niat, usaha dan keikhlasan sang perlaksana.


Jam sudah menunjukan pukul 12:12 tengah malam. Pastinya waktu ini seakan terlepas sudah waktu istirehat, tetapi lantaran teringat kepada satu cerita saya gagahi juga untuk menulis.


Amalan biasa sebelum tidur, sekurang-kurangnya 1 muka surat Al-Quran harus di tela’ah. Itu kepuasan apabila usia semakin meniti senja. Sedang leka membaca, disaat sampai kepada ayat ke 107 surah At-Taubah, firman Allah Azza wa Jalla;


وَالَّذينَ اتَّخَذوا مَسجِدًا ضِرارًا وَكُفرًا وَتَفريقًا بَينَ المُؤمِنينَ وَإِرصادًا لِمَن حارَبَ اللَّهَ وَرَسولَهُ مِن قَبلُ ۚ وَلَيَحلِفُنَّ إِن أَرَدنا إِلَّا الحُسنىٰ ۖ وَاللَّهُ يَشهَدُ إِنَّهُم لَكاذِبونَ


Maksudnya: “Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:” Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata “. Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.”


Teringat sebuah hadith tentang sebuah masjid yang bernama ‘Masjid Dirar’. Dalam satu riwayat yang dinukilkan oleh Imam As-Suyuti dalam Lababun Nuqul fi Asbabin Nuzul, telah datang kepada Rasulullah salallahu’alaihi wa sallam beberapa orang yang telah mendirikan Masjid Dirar, pada ketika itu baginda sedang dalam perjalanan ke Tabuk. Mereka berkata kepada baginda,


“Wahai Rasulullah, kami telah mendirikan sebuah masjid untuk orang sakit, orang yang berhalangan dan untuk solat malam di musim dingin dan musim hujan. Kami berharap sekali kedatangan engkau untuk solat mengimami kami.”


Baginda menjawab, “Aku sudah bersiap untuk pergi, dan jika kami pulang, Insya Allah aku akan datang mengimami kamu semua solat.”


Akan tetapi, ketika baginda pulang dari Tabuk, baginda berhenti sebentar di Zul Awan (satu tempat yang tidak jauh dari Madinah. Telah turun ayat tersebut (surah At-Taubah 9:107) melarang baginda dari solat di Masjid Dirar kerana masjid tersebut didirikan dengan tujuan untuk memecah-belahkan umat.


Apabila teringatkan hadith Qudsi ini, hati tiba-tiba terdetik bertanya sendirian. Bagaimana dengan banyaknya masjid-masjid yang didirikan dalam sesebuah komuniti. Sedangkan masjid utama (masjid kariah) seringkali lengang tanpa jemaah.


Masjid baharu masih tetap dibina. Alasannya untuk orang-orang yang uzur, orang-orang tua, hujan dan sebagainya persis apa yang disebut dalam hadith di atas.


Mengapa tidak diimarahkan masjid utama, di penuhkan saf-saf yang seringkali terbiar kosong setiap kali solat fardhu. Sedang masjid yang baharu dibina itu pun, jika ingin pergi untuk solat berjamaah, tetap juga lagi dengan kenderaan, mengapa tidak dipandu terus ke masjid utama.


Ya, manusia sememangnya memiliki seribu satu alasan. Tidak dipertikaikan hanya sekadar melontarkan soalan untuk difikirkan. Semoga niat dan tujuan kita bukanlah seperti yang disuratkan seperti firman Allah di atas. Mudah-mudahan amalan kita diterima Allah dijauhkan kita dari sifat orang-orang munafik.


Selamat Malam. Insyaa Allah akan menulis lagi.


Hanif Majid
Alor Setar. Kedah DA.

Kongsikan Artikel Ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on tumblr
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Share on print